Wednesday, December 14, 2011

ombak rindu - belum fenomena


ini bukan masalah pada orang lain, hanya pada aku. ianya berlaku apabila ramai bercerita tentang fenomena ombak rindu, maka sasaran dan harapan aku terhadap ombak rindu melangkau segalanya. aku mengharapkan ombak rindu mampu membawa aku hanyut dalam ombak perasaan sebagaimana dikatakan ramai yang menangis menonton ombak rindu.

ombak rindu karya osman ali ini berjaya dengan apa yang diinginkan untuk sebuah filem melodrama sebegini. tetapi ombak rindu yang sepatutnya membuai perasaan sepanjang ianya berputar tidak mampu mengheret aku untuk terlibat sama dalam emosi para pelakonnya. apa yang aku lihat adalah satu lagi cerita trajedi yang bertujuan mengundang air mata sebagaimana cerita seram atau komedi yang bertujuan menakutkan dan mengundang ketawa. maka dalam ertikata lain ombak rindu sekadar memberikan satu lagi genre untuk memancing simpati dan air mata penonton.

selain sasaran itu, apa lagi yang indah tentang ombak rindu? aku harus memberi kredit kepada setiap pelakonnya yang menjiwai watak dengan baik. mereka berjaya menjadi watak yang diberikan tanpa dibayangi watak diri sendiri. maya karin berjaya ngan izzahnya, aaron aziz dengan harisnya, bront palare dengan mailnya. sementara pelakon veteran zaidi omar, norman damanhuri dan azizah mahzan yang selayaknya dipuji. mereka hebat dengan kehebatan penjiwaan lakonan mereka.

namun yang paling aku perlu kreditkan adalah lisa surihani yang teramat berjaya dengan watak sisi gelapnya itu. mood lakonan lisa berasa di tahap yang di luar kemampuannya. dia menyakinkan dengan watak mila yang terperangkap atas rasa cinta dan dendam itu. aku yang bukan penggemar lisa, tiba-tiba menyenangi lisa surihani. dalam ertikata lain kalau kena dengan skrip, lisa boleh mengeluarkan bakatnya dengan lebih cemerlang lagi.

sebenarnya kalau tak tanpa kekuatan lakonan semua pelakon hebat tersebut, ombak rindu akan menjadi sebuah filem yang biasa sahaja. lebih membuatkan aku sakit hati adalah bagaiman sinematografi filem ini tidak berada di tahap yang memuaskan. adakalanya blur dan kosong. aku tidak tahu apa sebabnya. tetapi sewajarnya filem ombak rindu mengambil roh filem atau drama arahan kabir bahtia seperti nur kasih yang menitikberatkan sinematografi dan penataan seni. tetapi dalam ombak rindu semua itu bagaikan tiada. apa yang dipaparkan sekadar paparan tanpa ada kaitan dengan lakonan. begitu juga dengan lagu tema yang diulang banyakkali sehingga menimbulkan rasa bosan. sewajarnya hanya adegan tertentu menyelitkan lagu tema, selebihnya mengunakan muzik sahaja. osman ali perlu menonton filem hindustan kuch kuch hota hai maupun kabhi khushi kabhie gham untuk lebih dekat bagaimana kerja kamera, muzik latar mempengaruhi emosi penonton.

dan satu kesalahan yang tak boleh dimaafkan adalah betapa mudahnya osman ali membuat babak kemuncak tentang pembongkaran pak abu tentang siapa haris dalam hidupnya. sewajarnya babak itu memerlukan tumpuan lebih kepada empat watak. terutamanya haris yang baru mengetahui tentang siapa dirinya, izzah yang mengandung dan izzah yang tak curang. namun babak itu sebenarnya hanya sekadar babak biasa walhal babak itu kemuncak segala ombak rindu. inilah kesalahan pengarah dan jurugambar yang tidak peka apa yang dilayaknya ditonjolkan.

babak akhir izzah dan mila antara babak terbaik ombak rindu. ianya satu babak yang menarik untuk diulas terutamanya adengan itu di tengah sawah. inilah sebenarnya lakon layar yang baik. sawah yang terbentang, izzah dan mila dipondok dengan dua rasa berbeza adalah contoh betapa osman ali cuba memaparkan rasa keduanya. tetapi sayangnya kepekaan osman ali seperti biskut. sekejab ada, sekejab tak ada. kesinambungan oknya tidak berada dalam situasi membanggakan.

ombak rindu dikatakan menjadi fenomena. tetapi bagi aku ianya belum mencapai tahap fenomena. ombak rindu hanya sekadar filem air mata yang bergantung kepada lakonan pelakonnya. sedangkan untuk dikatakan ianya sebuah filem yang sempurna atau fenomena ianya masih boleh dipertikaikan.

tiga bintang untuk ombak rindu!