
PUTRAJAYA: Rezeki menyebelahi Shaheizy Sam dan Siti Shahriza (Eja) apabila diumumkan sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Manakala, filem Hikayat Merong Mahawangsa sentuhan Yusry Abdul Halim diangkat sebagai Filem Terbaik FFM24 dan Pengarah Terbaik pula diterima Syamsul Yusof menerusi filem KL Gangster.
Kemenangan Shahezy sekali gus menafikan peluang pesaing lain yang memberikan saingan hebat iaitu Syamsul menerusi filem KL Gangster; Awie (Hantu Kak Limah Balik Rumah); Remy Ishak (Nur Kasih) dan Zahiril Adzim (Senjakala) untuk membawa pulang trofi idaman ramai pelakon yang mengiktiraf bakat dan lakonan mereka dalam dunia perfileman tanah air.
Eja menerusi filem Janin mengenepikan cabaran pelakon Maya Karin (Cun!); Tiz Zaqyah (Nur Kasih The Movie) dan Liyana Jasmay (Senjakala).
Rezeki turut menyebelahi Faezah Elai apabila merangkul Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Filem Cun!, manakala Soffi Jikan meraih kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi KL Gangster.
Malam kemuncak FFM24 itu dihoskan Ogy Datuk Ahmad Daud bersama Johan Raja Lawak dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Prima . Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menjadi tetamu kehormat.
Filem KL Gangster terbitan Skop Production dianugerahkan sebagai filem ‘box office’ apabila berjaya meraih kutipan RM11.74 juta.
Manakala Edry Abdul Halim sekali lagi mengulangi kejayaan dalam FFM23 apabila muncul pemenang Anugerah Skor Muzik Asal Terbaik menerusi Hikayat Merong Mahawangsa.
Bertemakan Gemilang Filem Malaysia yang dipilih sempena menjulang kehebatan filem tempatan ke persada antarabangsa, FFM24 mencatat sejarah dengan penyertaan sebanyak 41 filem, menjadi satu penyertaan tertinggi selama FFM diadakan. Menyemarakkan lagi malam perhimpunan terbesar penggiat seni lakon tanah air itu, Amee Philips tampil menaja hadiah barang kemas eksklusif bagi pemenang Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik. Keseluruhan hadiah untuk wang tunai bernilai RM55,000, manakala baucar tunai bernilai RM1 juta.