
sememangnya memang ada yang tak kena apabila penakut dari yuna ditabalkan sebagai lagu terbaik dalam aim 18 lalu. ianya memecah tradisi aim sendiri. tetapi seperti biasa pihak penganjur dalam sidang akhbarnya memberi alasan selamat dengan mengatakan ianya satu perubahan baru. tetapi belumpun panas anugerah tersebut digenggam yuna, dia kena pulangkan kepada sedetik lebih milik edry dan anuar zain itu. bukankah satu kesilapan yang memalukan.
apapun alasan, ulasan atau kritikan segalanya telah mencipta sejarah baru dalam penganjuran aim yang sudah 18 tahun usianya. rupanya dalam umur baligh itu mereka yang terlibat mengambil mudah soal keputusan yang membabitkan maruah orang lain.
aku tumpang simpati pada yuna. dia berhak terkilan, marah dan menyaman pihak penganjur. tetapi yuna sentiasa diplomasi dalam tindakannya walaupun maruahnya diinjak begitu. inilah contoh pejuang seni yang tak gentar dengan cabaran dan percaya pada rezeki serta takdir.
sedetik lebih sememangnya layak untuk ditabalkan dalam aim 18. namun ianya bukan sesuatu yang terlambat untuk mengucap tahniah pada edry dan anuar zain. barangkali juga dengan momen yang mencalar dan melukakan hati ramai pihak ini, kita akan belajar untuk lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan yang besar. sedetik lebih membuatkan kita harus berfikir sedetik lebih selepas ini agar tidak dikatakan orang yang gagal. dan keberanian pihak terbabit mengakui kesilapan mereka adalah bukti mereka tidak penakut. kita akur ianya tidak sepatutnya berlaku. tetapi mereka juga manusia, maka kerana itu kita tidak perlulah melatah atau menunding keterlaluan. nasi walaupun sudah menjadi bubur tetap enak untuk dimakan. terutamanya kalau bubur itu ditambah pelbagai hidangan sampingan...