Sunday, June 1, 2008

Apa Kata Hati - Santai Tapi Kosong


Andai ingin dikatakan sebuah filem yang menghiburkan dan santai serta sesuai untuk terapi minda, inilah filemnya. Tapi jika dikatakan ianya akan meninggalkan sesuatu untuk dibawa pulang rasanya harapan itu tidaklah terlalu tertunai.

Apa Kata Hati memiliki konsep penceritaan yang baik. Namun kerana kurangnya prihatin kepada kemantapan skrip maka Apa Kata Hati berlalu umpama angin petang yang singgah di tengah kepanasan suasana. Sedikit nyaman namun hanya seketika. Sayang sekali filem yang berinspirasi filem komersil dari barat ini tidak diperkukuhkan sebaikmungkin. Barangkali pengarah dan penulis skripnya terlalu inginkan komedi ringan,maka aspek kekuatan sebenar cerita Apa Kata Hati tidak diendahkan.

Melihat watak Raja Farah mengingatkan kepada Lindsay Lohan maupun pelakon remaja dari barat yang digambarkan sebagai remaja yang happy dengan dunia mereka. Dalam waktu yang sama mereka akan dihadapkan dengan kemelut percintaan dan persekitaran. Maka timbullah watak kawan yang kalut seperti Dynaz, ibu bapa yang over seperti Ogy dan Harun, lelaki yang merebut seorang gadis seperti Awal dan Farid Kamil. Itulah sinonim yang terlalu klise yang sering berlaku.

Tidak salah meniru tetapi biarlah dengan peniruan yang baik dan indah. Raja Farah sendiri tidak mampu menjadi heroin untuk Apa Kata Hati. Wataknya terlalu kaku dan kurang hidup. Farid Kamil dan Awal sekadar biasa. Penghias suasana dengan hensem tapi mutu lakonan di bawah kemampuan mereka sendiri. Ogy dan Ac mengoverkan suasana tetapi tetap menghiburkan. Dynas ada peningkatan di samping Awie yang cukup menyenangkan dengan watak pereka fesyen yang lembut. Yang lain sekadar penyeri meskipun kehadiran ramai artis sebagai cameo, kehadiran mereka tidak banyak membantu.

Lebih malangnya kemuncak cerita langsung tiada. Semuanya berjalan perlahan dan santai. Menonton Apa Kata Hati seperti memakan goreng pisang bersama air kopi di tepi anjung rumah. Hanya itu. Sayang sekali ...